Friday, July 13, 2012

Dakwah: Antara Hujan dan Banjir

Assalamualaikum wbt..... daripada Pioneer of Legacy.

Hari ini saya ingin berbincang sedikit mengenai dakwah. Tadi waktu pergi solat Jumaat khatib telah menyampaikan khutbah mengenai tanggungjawab dakwah. Sangat menarik pengisian yang telah dimasukkan dalam khutbah tersebut. Saya terasa terpanggil untuk berkongsi sedikit-sebanyak dapatan daripada khutbah tadi, insyaAllah.

Mungkin hadis paling popular dalam perbincangan mengenai dakwah ialah:

Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Namun, bagi sesetengah orang, mungkin mereka kurang nampak ketegasan tuntutan dakwah hanya sekadar mendengar hadis ini. Mungkin setengah daripada mereka akan lebih bermotivasi dengan hadis ini:

Daripada Abu Mas'ud iaitu 'Uqbah bin 'Amral-Anshari al-Badri r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang memberikan petunjuk atas kebaikan, maka baginya adalah seperti pahala orang yang melakukan kebaikan itu."(Riwayat Muslim)

Walaubagaimanapun, mungkin masih ada sebahagian daripada kita yang enggan dan berlengah daripada usaha dan tanggungjawab dakwah. Ada satu lagi hadis yang ingin saya kongsikan di sini:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Mereka yang enggan berdakwah sekalipun bertanggungjawab menyampaikan ilmu jika ada orang yang mencarinya. Sedarlah betapa pentingnya dakwah dalam kehidupan seorang Muslim.

Saya rasa sudah cukup pencerahan tadi mengenaikan mengapa dakwah. Okey. Sekarang bila rasa ingin berdakwah, kita harus juga tahu cara-cara yang berhikmah untuk berdakwah. Dakwah untuk seorang insan kepada insan yang lain berbeza mengikut fikrah dan keadaan mad'u tersebut. Seorang da'ie mestilah peka dengan situasi mad'u jika mahu dakwah yang dijalankan berkesan.

Antara kaedah dakwah yang berkesan ialah menyampaikan risalah-risalah dakwah secara berperingkat dan berkala. Mustahil untuk kebanyakan orang menerima dakwah sekaligus. Bak kata orang tempat saya, "Its overwhelming". Jadi, kita kenalah berdakwah sedikit demi sedikit. Allah SWT juga menurunkan hujan sedikit demi sedekit agar kita dapat merasai rahmat-Nya ini. Jika Allah SWT menurunkan hujan secara tidak berhenti dan mencurah-curah, maka binasalah kita ditenggelami banjir seperti yang berlaku kepada kaun Nabi Nuh as.

Begitu juga dengan situasi dakwah. Dakwah secara berperingkat boleh memberikan kesempatan dan ruangan kepada mad'u untuk menikmati rahmat Allah. Sekiranya terlalu banyak yang disampaikan pada satu masa, dirisaukan mad'u tersebut akan terasa terbeban malah mereka juga mungkin terkeliru dengan mesej-mesej dakwah yang dibawa oleh si da'ie. Di sini kita lihat betapa pentingnya strategi dakwah secara berhikmah.

Dalam menyusun strategi dakwah, kita harus memastikan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi panduan utama. Menjadi satu kerisauan jika kita terlalu bergantung dengan bahan-bahan 'secondary' seperti buku-buku moden dan terlalu cuba menjustifikasikan ilmu sains barat dengan ilmu Al-Quran. Berbeza dengan ilmu dalam Al-Quran, ilmu sains tidak bersifat muktahir. Al-Quran kekal bersifat 'Haq' tanpa mengira peredaran masa. Sebaliknya bagi ilmu sains, teori-teori sains berubah saban tahun dan terlalu banyak masih belum terungkai. Tindakan cuba memastikan kebenaran Al-Quran melalui ilmu sains semata-mata mungkin bersifat 'reckless' atau terburu-buru kerana adakah mungkin segala ilmu sains and ada sekarang benar-benar terbukti? Terlalu banyak persoalan dan percanggahan pendapat dalam komuniti saintifik yang boleh mendatangkan keraguan dalam sesuatu teori sains.

Indahnya Al-Quran kerana tiada keraguan di dalamnya. Oleh itu, wajib kita sebagai bakal-bakal da'ie untuk memastikan panduan utama kita adalah Kitabul Karim ini. Satu lagi strategi dakwah berhikmah yang ingin saya kongsikan di sini ialah 'menangguhkan jawapan'.

Kadang-kadang, kita diberikan soalan daripada mad'u yang dihampiri yang kita sendiri kurang jelas akan jawapannya. Seharusnya kita perlu jujur kepada mad'u dan menangguhkan daripada menjawab soalan tersebut agar kita berpeluang mencari jawapan yang lebih jelas atau kita boleh mengajukan soalan tersebut kepada orang yang kita rasa lebih mengetahui jawapannya. Saya akui agak sukar untuk menghalang diri daripada terus menjawab soalan-soalan mad'u tetapi bila kita fikirkan, memberikan jawapan kurang jelas kepada mad'u boleh menjejaskan dakwah yang cuba kita sampaikan.Ingatlah, kita ingin sampaikan hujan rahmat bukannya binasa banjir.

Saya rasa majoriti daripada para pembaca mengetahui semua perkara yang saya bangkitkan dalam penulisan ini. Sememangnya, ia lebih bersifat peringatan kepada kita semua, terutamanya kepada diri saya sendiri. Jika ada kesilapan dalam penulisan ini, saya harap saudara pembaca boleh menegur saya agar kita sama-sama mendapat manfaat. Sekian. Wallahualam.

Kemuliaan Anak Adam dan Lailatul Qadr.

Assalamualaikum w.b.t.... daripada Pioneer of Legacy kepada rakan-rakan pembaca.
 
   Dalam kesempatan kita menyambut kedatangan Ramadan, saya terasa terpanggil untuk menulis sedikit pengisian yang mudah-mudahan dapat mengingatkan diri saya dan rakan-rakan mengenai perkara-perkara penting yang boleh membantu kita memanfaatkan masa kita terutamanya dalam bulan Ramadan dengan semaksima yang boleh. Tanpa berlengah, saya akan masuk ke topic perbincangan kita. 


Apakah itu Ramadan? Mungkin kepada ramai di antara kita, bulan Ramadan ialah bulan puasa. Maknanya, ia bulan untuk kita berlapar. Mungkin kepada sesetengah yang lain, ia merupakan bulan ekonomi. Bazaar Ramadan, jualan kuih, tempahan baju dan langsir untuk hari raya dan pelbagai peluang pendapatan yang lain. Mungkin juga kepada sebahagian daripada kita, bulan ini merupakan bulan yang tiadanya hantu kerana syaitan-syaitan dibelengu. Mungkin, mungkin dan mungkin. 


Tetapi mungkin juga kepada sebahagian di antara kita, bulan ini merupakan suatu nikmat masa dan kesempatan untuk kita terus mengumpul amalan dalam ketika sisa hayat kian tipis dan ajal maut boleh menjelma tidak kira masa. Benar, dalam bulan ini terdapat tawaran yang berbeza daripada bulan-bulan lain, ‘Mega Sale’ yang terhebat dalam setahun yang tidak mungkin ditandingi oleh apa sahaja tawaran yang boleh manusia tawarkan. Malah, dalam bulan ini juga terdapat satu ‘super limited-time offer’ yang dikenali sebagai Lailatul Qadr. Jadi, di manakah letaknya kita di antara semua golongan ini?


Saya gemar meminjam kata-kata seorang jauh lebih berilmu daripada saya. Beliau bercerita mengenai kehebatan Lailatul Qadr. Mengapakah malam ini begitu hebat sehingga disebut dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada 1000 bulan? Malah, para Malaikat turun pada malam tersebut. Namun, jika kita mahu mengetahui mengenai perkara paling penting yang menjadikan malam ini sangat istimewa, kita perlu memahami ayat yang pertama. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar [97:1]” Turunnya mukjizat Al-Quran pada malam ini membuatkannya istimewa. Sesungguhnya kita harus kembali kepada Al-Quran jika mahu menikmati keindahan Lailatul Qadr.



Kita sering mendengar orang ramai yang menilik-nilik bila akan tiba Lailatul Qadr agar boleh beribadah pada malam tersebut. Sayang betapa terpesongnya niat kita memburu Lailatul Qadr. Mungkin sedikit sebanyak, kita terpengaruh dengan pengiraan matematik bahawa jika beramal pada satu malam lebih baik daripada 1000 bulan, maka tidak salah untuk ‘kurang beramal’ selama 11 bulan kerana dalam bulan yang ke-12 (Ramadan) amalan pada Lailatul Qadr boleh menutup segala kelalaian yang sebelum itu. Seharusnya kita mengambil iktibar daripada Surah Al-Qadr di mana malam itu telah dimuliakan dengan kehadiran Al-Quran. Alangkah betapa mulianya anak-anak Adam yang sifat penciptaan yang sebaik-baik ciptaan turut dimuliakan dengan menghadirkan Al-Quran dalam serba-serbi kehidupan.

Ini adalah peringatan untuk kita bersama. Saranan saya adalah agar kita memuliakan Al-Quran dalam hidup kita agar Al-Quran dapat memuliakan kita. Saya menulis karangan ini sambil menonton Musabaqah Al-Quran di TV1, dan pengacara program turut menggalakkan kita memahami Al-Quran dan melazimkan mentadabbur Al-Quran. Anak-anak kecil tidak meragam ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sudah cukup untuk menceritakan kebesaran mukjizat ini. Memang rugi kita sebagai ummat Rasulullah SAW jika tidak menghayati Al-Quran kerana mukjizat inilah yang memuliakan kita untuk beramal dengan amalan yang setanding dengan ummat Nabi Nuh as yang hidup ratusan tahun dalam usia yang jauh lebih singkat. Malah, satu-satunya nabi yang dimakbulkan doa untuk menjadi ummat Nabi Muhammad SAW ialah Nabi Isa as. Mengapa pula kita tidak melahirkan kesyukuran atas apa yang kita nikmati? 

Jadi, bersempena bulan Ramadan yang secara fitrahnya sering Berjaya melembutkan hati ramai di antara kita untuk dekat dengan Al-Quran, dekat dengan masjid dan surau, cuba kita manfaatkannya dengan sepenuhnya. Cuba kita istiqamah untuk ‘bukan setakat Ramadan’. Sekian buat masa ini. Wallahualam.

Mengenang Isra' dan Mikraj: Tom n' Jerry, Susu dan Arak

Assalamualaikum w.b.t....daripada Pioneer of Legacy

   Rasanya ini post saya yang pertama dalam blog ini. Dah lama sebenarnya saya berhasrat nak tulis sesuatu dalam blog ini, namun sikap malas sering menjadi penghalang. Oleh itu, jangan jadi seperti saya, muslim yang sejati tidak akan tunduk pada sikap malas. Alhamdulillah, Ramadan yang bakal menjelang telah 'mencas' tenaga iman untuk menjadi kurang malas, dan hasilnya tercetus penulisan saya yang tidak seberapa ini. Saya bukanlah seorang yang pakar namun ia bukan penghalang untuk berkongsi ilmu dan pendapat. InsyaAllah, saya yakin akan sumber-sumber yang saya gunakan dalam penulisan ini. Sebarang pendapat yang dilontarkan bersifat peribadi, dan tidak menggambarkan pendapat ahli-ahli Keluarga UBC yang lain. Saya harap ada 'feedback' daripada rakan-rakan pembaca untuk saya terus memperbaiki diri InsyaAllah...

Okay, cukup pengenalan ringkas itu, saya akan terus ke isu yang saya ingin kongsikan. Semalam ketika saya sedang menaiki koc baru KTM (terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menyediakan penambahbaikan terhadap pengangkutan awam seperti ini, sejuk hati bila nampak perubahan seperti ini selepas hampir 10 bulan meninggalkan tanah air. Syabas!) saya sempat menonton beberapa episod cerita Tom n' Jerry menerusi monitor-monitor yang disediakan di dalam koc.

Terdetik satu persoalan yang tidak saya sedari semasa saya menonton cerita yang sama sebagai seorang anak kecil. Ramai orang menggelakkan 'kebodohan' Tom yang sering diperdaya oleh Jerry. Budak-budak kecil memuji kepintaran Jerry dan menyalahkan Tom atas 'kejahatannya' yang ingin memakan Jerry. Benar, sewaktu zaman kecil-kecil dahulu saya juga mempunyai pandangan yang sama. Namun, realiti dunia menyatakan suatu kejahatan yang tersembunyi dalam kisah ini. Ia adalah penentangan terhadap fitrah!



Tikus adalah makanan/mangsa kucing. Ini adalah satu bentuk fitrah alam. Malah ia boleh dikatakan undang-undang realiti kehidupan alam. Dalam istilah sainsnya, ia dipanggil rantai/jaringan makanan. Namun, bila situasi mecabar fitrah seperti ini ditonjolkan dalam media yang amat menarik minat anak-anak kecil seperti rancangan kartun ini, ia menjadi sesuatu yang amat bahaya. Kanak-kanak amat mudah terpengaruh dengan apa yang mereka saksikan, bahkan ramai antara mereka yang mengambil serius akan apa yang dilihat. 

Perkara ini amat halus dan licik. Ibu bapa kebiasaannya tidak membetulkan atau menerangkan keadaan realiti kepada anak-anak kerana beranggapan cerita tersebut sebagai kisah komedi yang tidak serius. Walhal hakikatnya, anak-anak mereka menyerap mesej-mesej dalam cerita tersebut. Malah, ada anak-anak yang cuba mencontohi 'pranking attitude' Jerry kerana menyangka ia sebagai perwatakan karekter yang pintar.

Di sini, sikap/idea yang kurang berakhlak sudah sedikit tertanam, memalapkan lubuk sanubari si bintang-bintang kecil kesayangan ibu bapa. Lihat berapa halusnya perkara ini! Memang, ada orang yang menganggap perkara ini seperti remeh dan agak 'over the top'. Cuma, cuba luangkan sedikit masa dan berfikir sejenak, adakah hikmah dalam apa yang saya utarakan.

Saya berhenti seketika daripada kisah Tom n' Jerry kerana mungkin ia tidak menarik bagi rakan-rakan pembaca yang lebih gemar cerita yang bernada Islamik. Saya ingin menyentuh satu peristiwa dalam Isra' dan Mikraj di mana Rasulullah SAW diberi pilihan minuman susu atau arak. Baginda SAW telah memilih susu, dan dalam penerangan ustaz-ustaz yang saya pernah jumpa, peristiwa ini menunjukkan kecenderungan seorang insan untuk memilih fitrah. Susu merupakan minuman yang terhasil secara semula jadi manakala arak pula terdapat banyak campurtangan manusia dalam penghasilannya. Sememangnya, ciptaan Allah secara semulajadi adalah yang terbaik dan paling hampir dengan fitrah manusia. Maka, tindakan baginda SAW memilih susu tersebut digambarkan dengan memilih fitrah.



Seorang ustaz yang saya hormati dalam satu majlis ilmu sempena Nisfu Syaaban mengkaitkan peristiwa dalam Rasulullah SAW memilih susu ini dengan keberkesanan syariat Allah dalam menepati/memenuhi keperluan manusia. Sesungguhnya, Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui akan apa yang tersirat dalam hati-hati hamba-Nya. Ustaz tersebut ada memetik satu senario yang pada saya cukup jelas menceritakan mengenai fitrah manusia dan syariat Allah.
Seorang bapa telah bertungkus-lumus bekerja untuk membesarkan seorang anak lelaki dan memberikannya pendidikan yang sebaik mungkin. Alhamdullilah, anak tersebut membesar sebagai sorang remaja yang baik, berakhlak dan pintar. Mendapat "straight A's" dalam SPM. Tiba-tiba, pada suatu hari, seorang Mat Rempit melanggar anak lelaki tadi atas kecuaian menunggang motosikal yang berulang, menyebabkan kematiannya. Menurut Seksyen 41 A.P.J. 1987 di mahkamah kerana memandu dengan melulu dan bahaya. Sabit kesalahan, boleh di penjara 10 tahun. Mat Rempit tadi dipenjarakan selama 10 tahun, makan minum ditanggung. Jika bapa mangsa tadi tidak puas hati, Mat Rempit tadi akan turut dikenakan kompaun yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa. Fitrah mengatakan bapa tadi tidak akan berpuas hati dengan keadaan ini. Namun, inilah yang ditawarkan oleh undang-undang campurtangan manusia. Jika menurut undang-undang fitrah ciptaan Allah, bapa tadi boleh menuntut nyawa Mat Rempit tadi atas kebenaran hakim, atau dia boleh menuntut pampasan bernilai 100 ekor unta (anggaran RM500,000 jika seekor unta RM5,000) atau dia boleh memaafkannya. Cuba kita bandingkan, undang-undang manakah agaknya lebih dekat dengan fitrah manusia yang berakal. Undang-undang yang dibawa dari Barat yang menganggap manusia berasal daripada monyet ini menyangkal undang-undang fitrah sebagai ganas, 'barbaric' dan kuno. Namun, itu yang mereka anggap sebagai fitrah kejadian manusia yang mereka kelaskan sebangai haiwan yang berevolusi. Oleh itu, sebagai orang Islam yang mempercayai kejadian Adam as, mengapa ada antara kita yang menolak fitrah?

Kita kembali kepada cerita Tom n' Jerry tadi. Sentimen-sentimen melawan fitrah seperti ini banyak dipamerkan dalam pelbagai rancangan terutamanya kartun di televisyen. Kita sudah nampak hasilnya, penerimaan terhadap LGBT, tentangan terhadap cara penyembelihan Islam, halangan terhadap pemakaian tudung, isu feminism dan lain-lain. Perkara-perkara ini mula timbul pada abad ini sejak penggunaan media secara meluas. Jika kita kembali kepada akarnya, semua masalah ini berpunca daripada persoalan keadaan sebenar fitrah manusia yang bercanggah dari tuntutan Islam. Isu tudung dan feminism misalnya, adab 'modesty' golongan hawa merupakan suatu yang fitrah dan diiktiraf oleh seluruh dunia sehingga Edward Bernays (anak saudara Sigmund Freud) menggunakan ilmu psikologinya untuk memengaruhi penduduk wanita menjadi 'kurang wanita' selepas dunia mensinonimkan wanita=tertindas. 

Benar, penindasan terhadap wanita merupakan sesuatu yang salah, malah fitrah dunia menyatakan wanita sangat bernilai dan perlu dilindungi. Sayangnya, Edward Burnays mengambil kesempatan menanam persaingan jantina yang bercanggah dengan fitrah (bukan persaingan yang sihat) dengan meninggalkan sikap santun (modesty) dan menjadi semakin 'bold' sehingga terhasilnya keadaan haru-biru berbaur jahilliyah yang ada sekarang ini. Saranan saya, kita perlu kembali kepada fitrah, caranya ialah dengan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW. Dua sumber utama ini merupakan manual untuk kita kembali kepada fitrah, kepada keadaan penciptaan Adam sebagai sebaik-baik ciptaan. Wallahualam....

P/S. Sila komen dan perbetulkan di mana saya silap. Sekian, terima kasih.